INFO ISLAM & ILMIAH

Assalamualaikum w.b.t, kepada saudara-saudari sekalian yang mengikuti blog ini, saya muatkan, nota-nota dan ebook ilmu-ilmu Islam dan pautan website ilmiah yang hebat untuk dikongsikan bersama. Pelbagai panduan dan ilmu yang bermanfaat boleh kita perolehi di sini.

Sesungguhnya saudara saudari sekalian, manusia yang ditinggikan darjatnya di sisi Allah s.w.t ialah manusia yang beriman dan mempunyai ilmu agama yang bermanfaat dan yang mengamalkan ilmunya untuk beribadah kepada Maha Penciptanya dengan penuh ketaqwaan serta beristiqomah.


Semoga kita semua mendapat manfaat, petunjuk dan keberkatan daripada Allah s.w.t atas usaha kita ini untuk menambahkan ilmu pengetahuan kita di dunia sebagai bekalan ke akhirat kelak. Amin.


Wassalam.


KELEBIHAN ORANG BERILMU

Wednesday 11 May 2011

13 Wasiat Rasulullah kepada Saiyidina Ali

IBNU ABBAS ra meriwayatkan bahawa Ali bin Abu Talib berkata : "Pada hari perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah SAW bersabda kepada ku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untuk ku".


1.   Hai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang.  Bahawasanya barangsiapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia akan mendapat laknat.


2.   Hai Ali, janganlah engkau memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah.  Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.


3.   Hai Ali, sesungguhnya Allah mengkagumi hambanya yang melafazkan istighfar; "Rabbighfirli fainnahu layaghfirul-zunuba illa Anta" (Tuhan ku ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan engkau).  Allah lalu berfirman, "Hai malaikat Ku, sesungguhnya hamba Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Ku. Hai malaikat Ku, jadilah saksi bahawasanya Aku telah mengampunkan dia".


4.   Hai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidiq (benar) itu berkat dan kazzab (dusta) itu celaka.


5.   Hai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya siksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.


6.   Hai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, samada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan dharurah, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak mensucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan namaNya.


7.   Hai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah Taala mendatangkan rezeki engkau setiap hari.


8.   Hai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah-seranah.  Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.


9.   Hai Ali, senantiasalah engkau bersugi dan mencolek gigi. Bahawasanya bersugi itu mensucikan mulut, mencerahkan mata dan diredhai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi oleh Malaikat kerana Malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak dicolek selepas makan.


10.  Hai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah.  Apabila timbul rasa marah duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke atas hambaNya.  Pertahankanlah diri engkau daripada dikuasai oleh kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.


11.  Hai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurnia Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau perolehi peruntukan daripada Allah.


12.  Hai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman.  Dengan itu engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.


13.  Hai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan di antara ahli rumahmu.  Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.


"Hai Ali, peliharakanlah pesanan ku (wasiat ku).  Engkau akan perolehi kemenangan dan kelepasan. InsyaAllah".

No comments:

Post a Comment

KOMEN ANDA