INFO ISLAM & ILMIAH

Assalamualaikum w.b.t, kepada saudara-saudari sekalian yang mengikuti blog ini, saya muatkan, nota-nota dan ebook ilmu-ilmu Islam dan pautan website ilmiah yang hebat untuk dikongsikan bersama. Pelbagai panduan dan ilmu yang bermanfaat boleh kita perolehi di sini.

Sesungguhnya saudara saudari sekalian, manusia yang ditinggikan darjatnya di sisi Allah s.w.t ialah manusia yang beriman dan mempunyai ilmu agama yang bermanfaat dan yang mengamalkan ilmunya untuk beribadah kepada Maha Penciptanya dengan penuh ketaqwaan serta beristiqomah.


Semoga kita semua mendapat manfaat, petunjuk dan keberkatan daripada Allah s.w.t atas usaha kita ini untuk menambahkan ilmu pengetahuan kita di dunia sebagai bekalan ke akhirat kelak. Amin.


Wassalam.


KELEBIHAN ORANG BERILMU

Saturday 4 June 2011

Nasihat Nabi SAW Kepada Abu Zar r.a.

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah SWT,
Nabi SAW sentiasa memberikan nasihat dan pedoman hidup kepada sahabat-sahabatnya yang bertemu baginda untuk meminta nasihat dan pesanan-pesanan yang berharga untuk menjadi pedoman kehidupan. Oleh kerana Nabi SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk seluruh umat manusia, maka nasihat yang diberikan pada sahabatnya adalah juga untuk diamalkan seluruh umat manusia untuk dijadikan iktibar dan amalan dalam kehidupan.

Abu Zar r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :

"Aku menasihatkanmu;

* Kamu hendaklah bertakwa kepada Allah kerana ianya sumber segala amalan.

* Utamakanlah bacaan al-Quran dan zikrullah kerana dengan itu nama kamu akan disebut dilangit dan sebabkan nur di permukaan bumi.

* Perbicarakanlah yang baik-baik atau senyap nescaya syaitan akan terhindar darimu dan kamu akan ditolong tentang urusan-urusan agamamu.

* Janganlah sekali-kali banyak ketawa kerana dengan itu hatimu akan mati dan cahaya dari wajahmu akan lenyap.

* Utamakan jihad kerana itulah kebanggaan umatku.

* Hendaklah mengasihi orang-orang miskin dan menggauli mereka.

* Dan perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripada keadaanmu.

* Janganlah sekali-kali memperhatikan keadaan mereka yang lebih tinggi daripada keadaanmu kerana dengan ini kamu tidak dapat mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang Ia kurniakan kepada kamu.

* Hendaklah mengukuhkan silaturahim dengan kaum kerabatmu walaupun mereka memutuskan perhubungan mereka denganmu.

* Hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit.

* Jangan sekali-kali menghiraukan para pencela mengenai urusan-urusan agama Allah.

* Carilah keaiban dirimu sendiri, janganlah sekali-kali menghebohkan keaiban orang lain.

* Janganlah sekali-kali memurkai seseorang kerana keburukannya yang terlibat di dalam dirimu sendiri.

Wahai Abu Zar,

* Tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya,

* Sebaik-baik takwa ialah menjauhi segala larangan dan,

* Tidak ada kemuliaan yang setimpal dengan akhlak yang sempurna."

Pengajarannya :

Berdasarkah hadis di atas yang diriwayatkan oleh Abu Zar r.a, Nabi SAW telah menjelaskan beberapa perkara mengenai ciri-ciri akhlak Islam dan amal soleh yang perlu ada pada diri seorang mukmin. Walaupun nasihat ini ditujukan kepada sahabat baginda (Abu Zar) tetapi sebenarnya ia adalah ditujukan untuk semua umat manusia  untuk mencapai tahap akhlak Islam dan amal soleh yang sempurna. Sekiranya kita fahami dan melaksanakan apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW, insya Allah kita akan menjadi mukmin yang sempurna dan memiliki peribadi yang mulia.    

No comments:

Post a Comment

KOMEN ANDA