INFO ISLAM & ILMIAH

Assalamualaikum w.b.t, kepada saudara-saudari sekalian yang mengikuti blog ini, saya muatkan, nota-nota dan ebook ilmu-ilmu Islam dan pautan website ilmiah yang hebat untuk dikongsikan bersama. Pelbagai panduan dan ilmu yang bermanfaat boleh kita perolehi di sini.

Sesungguhnya saudara saudari sekalian, manusia yang ditinggikan darjatnya di sisi Allah s.w.t ialah manusia yang beriman dan mempunyai ilmu agama yang bermanfaat dan yang mengamalkan ilmunya untuk beribadah kepada Maha Penciptanya dengan penuh ketaqwaan serta beristiqomah.


Semoga kita semua mendapat manfaat, petunjuk dan keberkatan daripada Allah s.w.t atas usaha kita ini untuk menambahkan ilmu pengetahuan kita di dunia sebagai bekalan ke akhirat kelak. Amin.


Wassalam.


KELEBIHAN ORANG BERILMU

Showing posts with label AS-SUNNAH. Show all posts
Showing posts with label AS-SUNNAH. Show all posts

Monday, 6 June 2011

WASIAT TERAKHIR RASULULLAH S.A.W.

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W.

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah
Tahun 10 Hijriyah di Lembah Uranah, Gunung Arafah


Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.

WASIAT RASULULLAH S.A.W.

“Telah bersabda Rasullah s.a.w. Jibrail sentiasa mengharap-harapkan akan menjadi manusia kerana tujuh perkara iaitu, sembahyang yang lima berimam, duduk bersama ulamak-ulamak, menziarah orang sakit, menghantar jenazah, memberi air minum, mendamaikan diantara dua orang bermusuh-musuhan dan memuliakan jiran serta anak-anak yatim. Maka bersungguh-sungguhlah engkau diatas perkara tersebut”.

Telah bersabda Rasullah s.a.w. beramallah engkau dengan lurus hati kerana Allah. Bahawasanya Allah Ta’ala tidak akan menerima melainkan orang yang lurus hatinya. Allah Ta’ala telah berfirman yang bermaksud;

“Barang siapa mengharap untuk berjumpa dengan Tuhanya maka hendaklah Dia beramal yang baik den janganlah mempersekutukan Tuhan dengan apa juga pun”.

Saturday, 4 June 2011

Nasihat Nabi SAW Kepada Abu Zar r.a.

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah SWT,
Nabi SAW sentiasa memberikan nasihat dan pedoman hidup kepada sahabat-sahabatnya yang bertemu baginda untuk meminta nasihat dan pesanan-pesanan yang berharga untuk menjadi pedoman kehidupan. Oleh kerana Nabi SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk seluruh umat manusia, maka nasihat yang diberikan pada sahabatnya adalah juga untuk diamalkan seluruh umat manusia untuk dijadikan iktibar dan amalan dalam kehidupan.

Abu Zar r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :

"Aku menasihatkanmu;

* Kamu hendaklah bertakwa kepada Allah kerana ianya sumber segala amalan.

* Utamakanlah bacaan al-Quran dan zikrullah kerana dengan itu nama kamu akan disebut dilangit dan sebabkan nur di permukaan bumi.

* Perbicarakanlah yang baik-baik atau senyap nescaya syaitan akan terhindar darimu dan kamu akan ditolong tentang urusan-urusan agamamu.

* Janganlah sekali-kali banyak ketawa kerana dengan itu hatimu akan mati dan cahaya dari wajahmu akan lenyap.

* Utamakan jihad kerana itulah kebanggaan umatku.

* Hendaklah mengasihi orang-orang miskin dan menggauli mereka.

* Dan perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripada keadaanmu.

* Janganlah sekali-kali memperhatikan keadaan mereka yang lebih tinggi daripada keadaanmu kerana dengan ini kamu tidak dapat mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang Ia kurniakan kepada kamu.

* Hendaklah mengukuhkan silaturahim dengan kaum kerabatmu walaupun mereka memutuskan perhubungan mereka denganmu.

* Hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit.

* Jangan sekali-kali menghiraukan para pencela mengenai urusan-urusan agama Allah.

* Carilah keaiban dirimu sendiri, janganlah sekali-kali menghebohkan keaiban orang lain.

* Janganlah sekali-kali memurkai seseorang kerana keburukannya yang terlibat di dalam dirimu sendiri.

Wahai Abu Zar,

* Tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya,

* Sebaik-baik takwa ialah menjauhi segala larangan dan,

* Tidak ada kemuliaan yang setimpal dengan akhlak yang sempurna."

Pengajarannya :

Berdasarkah hadis di atas yang diriwayatkan oleh Abu Zar r.a, Nabi SAW telah menjelaskan beberapa perkara mengenai ciri-ciri akhlak Islam dan amal soleh yang perlu ada pada diri seorang mukmin. Walaupun nasihat ini ditujukan kepada sahabat baginda (Abu Zar) tetapi sebenarnya ia adalah ditujukan untuk semua umat manusia  untuk mencapai tahap akhlak Islam dan amal soleh yang sempurna. Sekiranya kita fahami dan melaksanakan apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW, insya Allah kita akan menjadi mukmin yang sempurna dan memiliki peribadi yang mulia.    

Friday, 27 May 2011

Fadilat dan Kebaikan Selawat Kepada Nabi SAW

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanda kita kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW  adalah kita melaksanakan semua perintah yang diarahkan oleh baginda dan kita menjauhi  semua larangannya. Kerana semua perintah dan larangannya adalah datangnya daripada Allah SWT. Nabi SAW tidak mengatakan sesuatu melainkan apa yang diwahyukan oleh Allah SWT. Selain daripada itu kita hendaklah mengikuti amalan dan sunnah Nabi SAW setiap hari yang dilaksanakan baginda dalam kehidupan . 

Jalan untuk melahirkan kecintaan kita kepada Nabi SAW. adalah dengan kita banyakkan berselawat. Allah SWT  berfirman maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”.
(Surah al-Ahzab ayat 56)

Berselawat ke atas Rasulullah SAW bermakna kita berdoa memohon supaya Allah melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita, Nabi Muhammad SAW.

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Siapa berselawat kepada Nabi SAW sekali. nescaya dia akan di selawatkan Allah dan para Malaikat-Nya sebanyak 70 kali."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW  bersabda maksudnya : " Sesuatu doa terdinding (terhalang) sehinggalah seseorang yang berdoa berselawat kepada Nabi SAW. "
(Hadis Riwayat At-Tabaraani)


Sahabat yang dimuliakan,
Untuk kita melihat fadilat dan kebaikan berselawat kepada Nabi SAW, terdapat beberapa kisah dan peristiwa yang berlaku di zaman Nabi SAW dan zaman tabiin (zaman selepas sahabat-sahabat Rasulullah SAW) yang menceritakkan keajaiban seseorang yang sentiasa mengamalkan selawat kepada Nabi SAW.

Pertama : Kisah Seorang Musafir dan ayahnya.

Di ceritakan bahawa  seorang musafir bersama ayahnya. Si musafir mengisahkan bahawa di suatu ketika di suatu negeri, ayahnya meninggal dunia sehingga wajah dan sekujur tubuhnya menjadi hitam dan perutnya membusung. Si musafir lalu mengucapkan “La haula wala quwwata illa billahil aliyyil azhim (Tiada daya dan kekuatan kecuali Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung).

Ayah si musafir tersebut mati dalam kedukaan (su'ul khatimah), keadaan yang menyayat hati ini berlaku kerana perbuatan ayahnya semasa hidup kerapa melakukan dosa-dosa besar. Pada masa itulah si musafir merasakan beban teramat berat menimpanya kerana mendapatkan ayahnya mati dalam keadaan seperti itu. Tetapi, ketika dia bersama jenazah ayahnya dia terlelap sebentar. Dia bermimpi bahawa seorang laki-laki yang sangat tampan dan tubuhnya dipenuhi bulu halus datang kepada ayahnya dan menyapu wajah dan tubuh ayahnya tersebut dengan tangannya sehingga jasad ayahnya menjadi putih kembali, bahkan lebih ceria daripada bentuknya semula dan berseri-seri dengan cahaya.

Melihat perbuatan baik lelaki ini terhadap ayahnya si musafir takjub dan kemudian bertanya, “Siapakah tuan ini, yang telah menyampaikan karunia Ilahi atas ayahku?”

Lelaki yang baik  itu menjawab, “Aku adalah Rasulullah. Ayahmu termasuk dianatara orang-orang yang memperbanyakan selawat ke atasku. Maka, tatkala dia banyak melakukannya aku pun datang untuk membersihkannya.”

Kemudian si musafir merasa sangat berbahagia. Dia melihat pancaran dan cahaya keputihan itu ada pada ayahnya. Dia mengucapkan puji syukur kehadirat Allah SWT dan mengagongkan Allah SWT di hatinya serta berselawat kepada Nabi SAW.

Kedua : Kisah Unta Menjadi Saksi Bagi Orang Yang di Fitnah.

Pada masa permulaan Islam, ada seorang muslim yang difitnah telah mencuri seekor unta. Orang yang membuat fitnah membawakan saksi-saksi palsu, yakni orang-orang munafik yang tidak segan untuk bersumpah palsu. Maka, orang yang tidak bersalah itu diputus oleh hakim sebagai pencuri.

Menurut hukum Islam, seorang pencuri harus dihukum potong tangan. Lalu, orang mukmin yang malang ini pun berdoa, “Tuhanku, Engkau Mahakuasa atas segala sesuatu. Mereka telah memfitnahku. Aku tidak mencuri unta itu. Engkau Maha Mengetahui, selamatkanlah aku dari kehinaan ini, kerana aku telah berselawat kepada Nabi yang paling mulia. Engkau Maha Berkuasa, izinkanlah unta itu berbicara. Jadikanlah ia sebagai saksiku.”

Setelah berdoa demikian, dia memohon dengan bersungguh-sungguh, semoga dikurniakan rahmat Allah SWT keatas dirinya. Tidak sukar bagi Tuhan yang Maha Perkasa dan Maha Kuasa untuk membuat unta tersebut dapat berbicara dengan bahasa manusia. Hewan ini berkata, “ Ya, Rasulullah, aku milik orang beriman ini. Orang-orang itu adalah saksi palsu dan si pemfitnah telah membuat tuduhan palsu terhadap orang mukmin sejati ini.” Lantas unta tersebut mendekati pemiliknya dengan sikap tunduk dan duduk didepannya.

Dengan kebenaran ini dan keajiban yang ditunjukkan oleh Allah SWT. Apabila unta sendiri yang menjadi saksi, maka orang yang membuat fitnah dan persaksian palsu dari kalangan orang-orang munafik tersebut maka mereka semua menjadi amat malu dan terbongkarlah konsperasi jahat mereka untuk menzalimi orang mukmin yang tidak bersalah dan mereka semuanya tergamam. Seiring dengan itu, telah melahirkan cahaya iman dalam hati orang-orang yang turut menyaksikan peristiwa menakjubkan ini.

Nabi Muhammad SAW bertanya, “Wahai orang mukmin, bagaimana engkau dapat memperoleh keajaiban itu?”

Orang mukmin tadi menjawab, "Ya Rasulullah, saya selalu berselawat kepadamu sepuluh kali sebelum tidur.”

Nabi SAW  bersabda maksudnya : “Kerana selawatmu kepadaku, Allah SWT bukan hanya menyelamatkanmu dari hukuman potong tangan di dunia ini, tetapi juga akan menyelamatkanmu dari seksa neraka di akhirat. Barangsiapa berselawat kepadaku sepuluh kali pada petang hari dan sepuluh kali pada pagi hari, Allah SWT akan membangkitkannya bersama para nabi kesayangan dan kepercayaanNya dan wali-wali yang patuh, dan Dia akan melimpahkan berkah kepadanya sebagaimana berkah kepada nabiNya."

Ketiga : Kisah Sufyan Ats-Sauri dan Anak Tukang Riba.

Sufyan ats-Sauri mengatakan :  “ Aku pergi haji. Manakala Tawaf di Kaabah, aku melihat seorang pemuda yang tidak berdoa apapun selain hanya berselawat kepada Nabi SAW. Baik ketika di Kaabah, di Padang Arafah, di mudzalifah dan Mina, atau ketika tawaf di Baitullah, doanya hanayalah selawat kepada Baginda Nabi SAW.”

Apabila berkesempatan dan masa yang sesuai aku bertanya kepadanya dengan hati-hati : “Sahabatku, ada doa khusus untuk setiap tempat. Jikalau engkau tidak mengetahuinya, perkenankanlah aku mengajarimu.”

Pemuda itu berkata, “Aku tahu semuanya. Izinkan aku menceritakan apa yang terjadi padaku agar engkau mengerti tindakanku yang aneh ini.”

“Aku berasal dari Khurasan. Ketika para jamaah haji mulai berangkat meninggalkan daerah kami, ayahku dan aku mengikuti mereka untuk menunaikan kewajiban agama kami. Naik turun gunung, lembah, dan gurun. Kami akhirnya memasuki kota Kufah. Disana ayahku jatuh sakit, dan pada tengah malam dia meninggal dunia.

Dan aku mengkafani jenazahnya. Agar tidak mengganggu jemaah lain, aku duduk menangis dalam batin dan menyerahkan segala urusan pada Allah SWT. Sejenak kemudian, aku merasa ingin sekali menatap wajah ayahku, yang meninggalkanku seorang diri di daerah asing itu. Akan tetapi, ketika aku membuka kafan penutup wajahnya, aku melihat kepala ayahku berubah jadi kepala keledai. Terperanjat dengan pemandangan ini, aku tidak tahu apa yang mesti kulakukan. Aku tidak dapat menceritakan hal ini pada orang lain. Sewaktu duduk merenung, aku tertidur.

Lalu aku bermimpi bertemu dengan seorang lelaki yang menutup wajahnya. Seraya membuka penutup wajahnya, dia berkata, “Alangkah tampak sedih engkau! Ada apakah gerangan?” Aku pun berkata, “Tuan, yang menimpaku adalah suatu yang mendukacitakan. Tapi, aku tak boleh meratap supaya orang lain tak bersedih.”

Lalu orang asing itu mendekati jenazah ayahku, membuka kain kafannya, dan mengusap wajahnya. Aku berdiri dan melihat wajah ayahku lebih berseri-seri  wajah tuanya. Wajahnya bersinar seperti bulan purnama. Melihat keajaiban ini, aku mendekati orang itu dan bertanya, “Siapakah tuan ini, wahai kekasih kebaikan?”

Dia menjawab, “Aku Muhammad al Musthafa” (semoga Allah melimpahkan kemuliaan dan kedamaian kepada Rasul pilihanNya).

Mendengar perkataan ini, aku pun langsung berlutut di kakinya, menangis dan berkata, “Masya Allah, ada apa ini? Demi Allah, mohon engkau menjelaskannya ya Rasulullah.”
Kemudian dengan lembut baginda berkata, “ayahmu dulunya megamalkan riba. Baik di dunia ini maupun di akhirat nanti, wajah mereka berubah menjadi wajah keledai, tetapi disini Allah Yang Maha Agung mengubah lagi wajah ayahmu. Ayahmu dulu mempunyai sifat dan kebiasaan yang baik. Setiap malam sebelum tidur, dia melafalkan selawat seratus kali untukku. Saat diberitahu perihal nasib ayahmu, aku segera memohon izin Allah untuk memberinya syafaat kerana selawatnya kepadaku. Setelah diizinkan, aku datang dan menyelamatkan ayahmu dengan syafaatku.”

Sufyan mengatakan : “Anak muda itu berkata, 'Sejak saat itulah aku bersumpah untuk tidak berdoa selain selawat kepada Rasulullah, sebab aku tahu hanya selawatlah yang diperlukankan manusia di dunia dan di akhirat.”

Dalam sebuah riwayat, Rasulullah SAW telah bersabda bahwa, “Malaikat Jibril, Mikail, Israfil, dan Izrail Alaihumus Salam telah berkata kepadaku. Jibril a.s. berkata, “Wahai Rasulullah, siapa yang membaca selawat atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka akan ku bimbing tangannya dan akan ku bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar.”

Berkata pula Mikail a.s., “Mereka yang berselawat atasmu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu.”

Dan Israfil a.s. berkata pula, “Mereka yang berselawat kepadamu, maka aku akan bersujud kepada Allah SWT dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah SWT mengampuni orang itu.”

Kemudian Malaikat Izrail a.s. pun berkata, ”Bagi mereka yang berselawat atasmu, akan aku cabut roh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut roh para nabi.”
Bagaimana kita tidak cinta kepada Rasulullah SAW? Sementara para malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat atas Rasulullah SAW.

Sahabat yang dikasihi,
Dengan kisah yang dikemukakan ini, semoga kita tidak akan melepaskan peluang untuk selalu berselawat kepada pemimpin kita, cahaya dan pemberi syafaat kita, Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang kesayangan Allah SWT, Rasul, dan para MalaikatNya.

Semoga selawat, salam, serta berkah sentiasa diberikan kepada Penghulu kita Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda dan mereka-mereka yang sentiasa mengikuti sunnah dan ajaran baginda daripada kaum muslimin dan muslimat dari masa ke masa sehingga hari kiamat.

Wednesday, 11 May 2011

13 Wasiat Rasulullah kepada Saiyidina Ali

IBNU ABBAS ra meriwayatkan bahawa Ali bin Abu Talib berkata : "Pada hari perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah SAW bersabda kepada ku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untuk ku".


1.   Hai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang.  Bahawasanya barangsiapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia akan mendapat laknat.


2.   Hai Ali, janganlah engkau memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah.  Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.


3.   Hai Ali, sesungguhnya Allah mengkagumi hambanya yang melafazkan istighfar; "Rabbighfirli fainnahu layaghfirul-zunuba illa Anta" (Tuhan ku ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan engkau).  Allah lalu berfirman, "Hai malaikat Ku, sesungguhnya hamba Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Ku. Hai malaikat Ku, jadilah saksi bahawasanya Aku telah mengampunkan dia".


4.   Hai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidiq (benar) itu berkat dan kazzab (dusta) itu celaka.


5.   Hai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya siksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.


6.   Hai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, samada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan dharurah, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak mensucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan namaNya.


7.   Hai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah Taala mendatangkan rezeki engkau setiap hari.


8.   Hai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah-seranah.  Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.


9.   Hai Ali, senantiasalah engkau bersugi dan mencolek gigi. Bahawasanya bersugi itu mensucikan mulut, mencerahkan mata dan diredhai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi oleh Malaikat kerana Malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak dicolek selepas makan.


10.  Hai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah.  Apabila timbul rasa marah duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke atas hambaNya.  Pertahankanlah diri engkau daripada dikuasai oleh kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.


11.  Hai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurnia Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau perolehi peruntukan daripada Allah.


12.  Hai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman.  Dengan itu engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.


13.  Hai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan di antara ahli rumahmu.  Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.


"Hai Ali, peliharakanlah pesanan ku (wasiat ku).  Engkau akan perolehi kemenangan dan kelepasan. InsyaAllah".

Tuesday, 26 April 2011

Jaga 7 Sunnah Nabi S.A.W

Cerdasnya orang yang beriman adalah dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.

Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.

Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Tujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

(01) PertamaTahajjud kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

(02) Keduamembaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

(03) Ketiga, jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

(04) Keempat, jaga solat Dhuha kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

(05) Kelima, jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

(06) Keenam, jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.

(07) Ketujuh, amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.
Dzikir, kata Arifin Ilham, adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berdzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya.

بِسْــــــــــــــــــــــمِﷲِ ارَّحْمَنِ ارَّحِيم

1. Selalu mengucapkan kalimah tayyibah iaitu 'La Ilaha Illallah Muhammadar Rasulullah'.

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atasnya, maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli Syurga, tetap kekal mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan." (QS Al-Ahqaf:13~14)

Sabda Rasulullah SAW: “Banyakkanlah berzikir kepada Allah pada setiap perkara kerana tidak ada amal yang paling dicintai oleh Allah dan tidak ada yang menyelamatkan seorang hamba daripada keburukan di dunia dan akhirat melainkan berzikir kepada Allah.”

2. Apabila ditimpa sesuatu musibah atau melihat kematian, ucapkanlah 'Innalillahi wa inna ilaihi rojiun'. 

Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah memperbanyakkan perkataan melainkan zikir kepada Allah. Sesungguhnya banyak ucapan yang bukan zikir kepada Allah menjadikan hati keras. Orang yang paling jauh daripada Allah ialah orang yang mempunyai hati yang keras.” (HR At-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah SAW: “Apakah tiada aku tunjukkan kepadamu kunci untuk membuka pintu daripada pintu-pintu syurga?” Kata sahabat: “Apakah kunci untuk pintu syurga itu?” Jawab Rasulullah SAW: “Dengan sentiasa menyebut “Lahaula-wala quwwata-illa billahil ‘aliyi-azim.” Zikir ini bermaksud 'Tiada daya, tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah'. Apabila zikir ini selalu disebut-sebut, insyaAllah seseorang itu akan diberi ketenangan dalam menerima ujian dan keredhaan daripada Allah SWT.

3. Apabila dikurniakan nikmat, maka ucapkanlah 'Alhamdulillah'.

Iaitu sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Ucapan yang paling disukai oleh Allah ada empat iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Wa la ilahaillallah, Allahu Akbar.”

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya dunia dan seluruh harta kekayaan yang berada di atasnya diserahkan ke tangan seorang daripada umatku, kemudian orang itu berkata 'Alhamdulillah', maka ucapan 'Alhamdulillah' itu lebih berharga daripada seluruh harta itu. Ini kerana harta dunia akan habis, tetapi ucapan 'Alhamdulillah' itu akan berkekalan selama-lamanya hingga akhirat.”

4. Ucapkanlah 'Bismillahir-rohmanir-rahim' ketika hendak memulakan sesuatu pekerjaan. 

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa setiap pekerjaan baik yang tidak dimulakan dengan menyebut nama Allah, maka pekerjaan itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: "Bahawa sesuatu perbuatan yang baik tanpa dimulai dengan Bismillah maka ia akan terputus dari rahmat Allah SWT."

5. Ucaplah 'Astaghfirullahal-azim' apabila berbuat dosa.

Rasulullah SAW bersabda: “Perlukah aku beritahu kepadamu tentang suatu penyakit dan ubatnya kepada kamu? Sesungguhnya penyakit manusia itu adalah dosa, dan ubatnya adalah istighfar.” Sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan dosa. Sebaik-baiknya segeralah beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membiasakan dirinya membaca istighfar, Allah akan melepaskannya daripada segala macam kesempitan dan terlepas daripada setiap kesusahan dan Allah memberi rezeki kepadanya dengan tidak disangka-sangka.” (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Mudah-mudahan panduan ini dapat kita diamalkan untuk mendapatkan kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Wallahua'lam.

KOMEN ANDA